Setelah menunaikan solat
Maghrib, Arisya teringat akan kata-kata Nora dan keluhan En. Norman. Ada
sesuatu yang menarik hatinya untuk mengetahui lebih lanjut. "Nora, boleh saya tanya sedikit." "Tanyalah.
Apa dia?" balas Nora selamba. Lalu, Arisya menceritakan perbualannya dengan En. Norman
petang tadi. "Dah aku agak. Hmm.. Baguslah! Kalau kau benar-benar dah ada
pakwe, lebih baik kau berterus terang sahaja. Nanti tak pasal-pasal jadi macam
aku ni. Asyik kena kacau aja. Ingat aku ni minat rempit!. Naik bosan aku
dibuatnya. Tak habis-habis aku jadi bahan gurauan diorang.
Buat pengetahuan kau, En.
Norman tu tengah cari calon isteri. Ha..kau hati-hati sikit. Aku tengok dia
macam syok je kat kau." Barulah Arisya faham mengapa En. Norman mengeluh
setelah mengetahui yang dirinya telah mempunyai teman istimewa.
Semenjak
Arisya menetap di Kuala Lumpur bersama rakan sepejabatnya, Arisya cuma menemui
Iskandar sekali dalam sebulan. Ini memandangkan kesibukan mereka dalam tugas
masing-masing. Walau bagaimanapun mereka tetap berhubung melalui telefon.
Beberapa
bulan kemudian, umat Islam menyambut hari raya aidilfitri di bulan kemuliaan
setelah berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Arisya
dan ibunya sibuk mengemas rumah dan mengatur kuih-muih. Adik-adiknya sibuk
mengenakan pakaian baru mereka. Suasana hari raya penuh dengan kegembiraan dan
kesyukuran.
Di bulan Syawal inilah
umat Islam mengeratkan sillaturrahim sesama sendiri. Ziarah-menziarahi sudah
menjadi resam dikalangan umat Islam. Kanak-kanaklah yang paling gembira sekali
kerana inilah masa mereka untuk mengumpul wang sebanyak mungkin. Hampir seluruh
rumah di kampung tersebut diziarahi. Walaupun seketika, mereka tidak pulang
dengan tangan kosong. Cahaya kegembiraan tanda kesyukuran.
Setelah
umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri, Arisya dan keluarganya
bersiap-siap untuk ke Johor. Tujuan utama mereka adalah untuk menziarahi kubur
arwah ayah Arisya. Arwah ayah Arisya telah lama meninggal dunia semasa Arisya masih
kecil lagi. Arisya tidak mengenali ayahnya apalagi mendapat kasih sayang
seorang ayah. Hanya gambar-gambar yang masih menjadi simpanan ibunya dijadikan
bahan tatapan.
Semenjak ayahnya
meninggal, Arisya dijaga oleh ibunya dengan penuh kasih sayang. Tetapi kasih
sayang itu hanya sementara. Arisya ditinggalkan bersama neneknya sewaktu
berusia 6 tahun apabila ibunya berkahwin lain. Semenjak itu, Arisya tidak lagi
mendapat belaian kasih sayang seorang ibu. Kehidupannya penuh dengan dugaan.
Hidup tanpa belaian kasih kedua ibu bapa, hanya mengharapkan ihsan keluarga
sebelah ibunya.
Sepanjang
perjalanan ke Johor, fikiran Arisya melayang mengimbas kembali sejarah silam,
pahit maung kehidupannya sewaktu dia menetap di rumah neneknya. Setelah ibunya
meninggalkan Arisya dan abangnya di rumah nenek, segala perbelanjaan mereka ditanggung
oleh makciknya. Kehadiran Arisya tidak disenangi oleh mereka memandangkan hidup mereka agak
susah. Bak kata
pepatah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Abang Arisya tidak
dianggap begitu kerana nenek amat menyayanginya. Sejak abangnya dilahirkan
nenek Arisya lah yang menjaganya. Ibu Arisya tidak diberi kesempatan untuk
menjaga anak sulungnya itu. Hati ibunya benar-benar merasa sedih kerana tidak
dapat memberi kasih-sayang kepada anaknya itu.
"Kalau
kau nak anak kau balik. Kau bayar segala makan minumnya.!!" herdik Mak
Piah. "Susah-susah aku membelanya, senang-senang kau nak ambilnya
semula!!" tambahnya lagi. "Tapi mak… dia anak saya. Mak yang beriya
sangat nak jaga dia. Mak tak beri kesempatan pada saya untuk menjaganya"
sampuk Misnah. Berlaku pertengkaran kecil
antara mereka. "Sudahlah Misnah. Biarlah mak jaga Azlan." Pujuk
Ismail. Semenjak pertelingkahan itu, Misnah dan Ismail begitu mengharapkan
kehadiran cahayamata bagi menyinarkan kehidupan mereka. Segala yang mereka nantikan
akhirnya dikabulkan. Misnah didapati hamil!. Kegembiraan jelas terpancar di
wajah pasangan suami isteri tersebut.
Sebulan
selepas Misnah didapati hamil, bala menimpa dirinya. Kepulangan suami disambut
seperti biasa dengan iringan sebuah senyuman. Senyuman yang mampu meringankan
beban suami tercinta tatkala pulang dari mencari nafkah. "Banyak kerja
hari ni, bang?" tanya Misnah sambil menghulurkan segelas minuman sejuk
penghilang dahaga. Ismail tidak menjawab apa-apa. Dia hanya memhempaskan
dirinya di sudut ruang tamu rumah mereka. Mukanya pucat.
Bersambung..
Comments