SEPANG: “Sebelum bercuti hari raya baru-baru ini, setiap hari boleh
dikatakan dia pulang lewat kerana mahu menyelesaikan semua urusan kerja
di pejabat,” kata seorang kakitangan Kementerian Kesihatan dikenali
sebagai Hashimah mengenai nasib rakan sepejabatnya, Rosimah Mohammad,
47, yang maut dalam kemalangan di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum cuti Aidilfitri baru-baru ini, rakannya itu
yang juga Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Kementerian Kesihatan,
Putrajaya mahu menyelesaikan segala urusan berkaitan kerja di pejabat
sebelum bercuti menyambut hari raya.
“Dia menumpukan sepenuh
hati terhadap urusan kerja kerana tidak mahu bertangguh. Datang awal ke
pejabat seperti biasa dan hari-hari boleh dikatakan pulang lewat
petang.
“Saya tidak menyangka perkara ini terjadi kepada Rosimah. Sebagai
kawan baik memandangkan kami duduk bersebelahan meja, sudah tentu saya
terkejut di atas kejadian menimpanya,” katanya ketika ditemui di
Hospital Serdang.
Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi itu,
Rosimah dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja dengan memandu Toyota
Camry, namun tiba di Kilometer 2, Persiaran Putrajaya dari arah
Dengkil, kereta dipandunya itu hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi
jalan di sebelah kanan.
Akibat kemalangan itu mangsa
meninggal dunia di tempat kejadian manakala kereta mangsa mengalami
kerosakan teruk. Pasukan bomba dan penyelamat dari Putrajaya yang tiba
tidak lama kemudian berjaya mengeluarkan mangsa dalam tempoh lima minit.
Hashimah berkata, dia berasa pelik apabila tidak nampak kelibat
Rosimah di pejabat pada pagi kejadian, sekali gus terdetik di dalam hati
untuk bertanyakan kepada rakannya itu.
“Saya berasa pelik
kerana apabila sampai saja di pejabat saya tidak nampak Rosimah.
Tunggu-tunggu dia tetap tak muncul, menyebabkan terdetik dalam hati
untuk menghantar SMS bertanya sama ada dia masih bercuti atau mengambil
cuti kecemasan.
“Apabila dapat tahu dia terbabit dalam kemalangan, saya tak tahu
nak cakap apa lagi, sebab kami memang rapat. Pergi ke mana selalu
bersama, malah ada rakan pejabat yang keliru kerana menyangka kami
kembar,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah
Sepang, Deputi Suprintendan Zaldino Zaludin ketika dihubungi
mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menerima laporan
kemalangan jam 8.45 pagi.
Katanya, siasatan awal polis mendapati kereta mangsa hilang kawalan disebabkan keadaan permukaan jalan licin berikutan hujan.
Sumber http://www.hmetro.com.my
Comments